Tuesday, October 12, 2010

TAJUK 23: PANGGILAN HAJI 1

LAMBAIAN BAITULLAH




Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah
Malam subuh dan senja
Pergi ke Kaabatullah
Sembahyang berjamaah
Tawaf saei dan umrah
Terdengar suara ( panggilan bergema )
" LabbaikAllah hummalabbaik
Labbaika la syarikala kalabbaik
Innal hamda wan niqmata lak
laka walmulka la syarika lak "
Tiba masanya kini
Wuquflah di Arafah
Terdengar sayup sampai
Tahmid tazkir dan tasbih
Putih bersih berseri
Abdi pada Ilahi
Terbayanglah di sini
Tempat berhimpun nanti
(tempat.. berhimpun... nanti)
Dari padang Arafah
Lalu ke Muzdalifah
Bermalam di Mina
Melontar tiga jumrah
Syarat rukun haji sempurnalah sudah
Mogalah ibadah haji mabrurah
(haji.. mabrurah...)
Masjidil Nabawi terletak Makam Rasul
Taman Raudhah tempat himpun doa
Padamu pinta Wahai Junjungan
Selawat dan salam mohon syafa'at
(Selawat dan salam mohon syafa'at.... )
Ya sofwatAllah....
Panggilan haji
Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah Suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah




Menunaikan Haji ke Mekah merupakan Rukun Islam yang ke 5.  Maknanya setiap insan yang menganut agama Islam adalah wajib menunaikan Haji apabila telah memenuhi syarat-syaratnya.


Aku mula menyimpan dalam Tabung Haji lebih kurang di awal tahun 1990an, masa aku berpangkat Kapten.  No Akaun TH ku ialah 1289317 (kemudian ditukar menjadi 630501012893172). Aku buat potongan gaji sebanyak RM 100.  Namun masa itu cuma ada niat suatu hari nanti aku kena pergi Haji, itu sahaja, tiada perancangan bila aku nak pergi. Waktu itu juga keadaan hidupku tidak begitu stabil, selain dari anak-anak yang baru membesar atau baru memulakan persekolahan, aku juga melanjutkan pelajaran ke ITM.  Aku memerlukan wang untuk perbelanjaan hidup harian dan keperluan belajar.  Maka, simpananku sukar untuk bertambah kerana kerap aku 'withdraw' wang untuk keperluan mendesak.


Pada tahun 1999, aku membuka akaun untuk isteriku dan membuat pendaftaran haji untuk kami berdua. dan dijangkakan giliran aku pada tahun 2008(1428H). Nombor pendaftaranku ialah 07041569.

Kali pertama aku mendapat tawaran untuk ke Mekah ialah dalam tahun 2006  dan 2008 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana masalah keluarga yang belum diselesaikan. Hinggalah akhirnya aku bersedia untuk menunaikan Rukun Islam ke 5 ini pada tahun 2010.



Aku menerima surat tawaran dari Tabung Haji pada 12 Julai 2010 dan pertama kali mengikuti kursus intensif di Masjid Negara pada 17 dan 18 Julai 2010. Oleh kerana ini adalah kali pertama bagiku (kerana tidak berpeluang mengikuti kursus  haji bersiri yang dianjurkan sejak awal tahun), aku agak sukar untuk memahaminya. Ia meliputi teori dan praktikal (rukun dan wajib haji), keperluan haji, kesihatan, pentadbiran dan panduan-panduan lain. Pendedahan ini memberi kemudahan apabila aku membuat pembacaan ke atas beberapa buku panduan.  


Niat aku untuk menunaikan haji pada tahun 2010 telah aku rancang sejak 2009.  Sebelum itu aku telah menulis surat kepada Tabung Haji (apabila menolak pada 2008) supaya nama aku disenaraikan untuk tahun 2010. Namun apabila aku membuat semakan ke TH pada bulan Jan/Feb 2010 didapati nama aku tidak tersenarai.   Aku mengemukakan rayuan.  Namun jawapan agak lewat.  Sehingga bulan Jun apabila peluang semakin sukar, aku mendapat tawaran dari seorang kenalan supaya mendaftar di bawah Pakej swasta (TMTT)  dan dia akan membantu membuat rayuan ke TH melalui kenalan di dalam.  Untuk 2 orang aku membayar deposit RM1000 seorang dengan pihak TMTT dengan andaian jika rayuan menyertai Muassasah gagal, aku akan menggunakan pakej.  


Keputusan sebagai senarai terpilih hanya diperolehi dalam bulan Ogos, agak lewat, oleh kerana aku telah banyak berurusan dengan bantuan Hj Ramli (agen TMTT), maka aku tidak menyertai Muassasah dan mengekalkan pemergianku dengan menggunakan pakej swasta. 


Aku pergi menggunakan khidmat pakej syarikat TM Tours and Travel (TMTT) dimana kos keseluruhan ialah RM19,990 seorang.  Pengurus TMTT ialah Tuan Haji Mohd Ridzuan Abdullah (Managing Director) dan isterinya Hajjah Naimah Abdullah (Director).

Tuan Haji Ridzuan
 Tuan Hj Ridzuan dan Hjh Naimah

Kursus kedua secara tidak rasmi di Masjid Kelana Jaya pada 1 Ogos 2010 (setengah hari sahaja).  Kedua-dua kursus ini dikendalikan oleh Ustaz Drs Sapawi.


Antara aktiviti yang perlu dilakukan sebagai persediaan ialah:
  1. Mengesahkan tawaran di TH.
  2. Mendapatkan suntikan 3 serangkai iaitu; 
    1. Anti-Minengitis (Meningococcal Quadrivalent Vaccine)
    2. Anti Hepatitis B
    3. Anti Influenza H1N1.
  3. Menghantar passport ke TH untuk mendapatkan visa.
  4. Mengambil gelang tangan (2 Okt) dan peralatan sumbangan.
Aku tidak berpeluang menghadiri Kursus Haji Perdana (KHP) di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya pada 25/26 Sep 2010 kerana pada hari tersebut adalah Majlis Perkahwinan Nur Fairiz Fazeera. 


Pada 17 Okt 2010 aku dan isteri mengikuti program taklimat dan kursus ulangkaji haji terakhir anjuran TMTT di City Hotel, Jalan Haji Hussein, KL yang dikendalikan oleh Datuk Kamal bin Hj Muhammad.  Kursus ini lebih memantapkan lagi pengetahuan dari beberapa kursus terdahulu. Walaupun singkat ia adalah satu kursus yang berkesan dan menyeronokkan. Semasa taklimat ini juga kami diberikan satu set peralatan seperti beg besar, beg galas dan lain-lain.
.

.

Cerita pasal haji ni, aku teringat keadaan semasa allahyarhamah Embah Suminah (ibu emak aku) mengerjakan Fardhu Haji dalam tahun 1968.  Aku ingat tahun itu adik aku (Khairiah) dilahirkan dan aku dalam Darjah 3.  Waktu itu, menunaikan haji menaiki kapal laut dari pelabuhan Singapura, Port Swettenham atau Pulau Pinang.  Mereka diketuai oleh seorang Siekh.  Nama Siekh haji masa itu ialah Siekh Ahmad Lampong.  Persediaan  untuk ke Mekah pada masa itu amat berbeza dengan masasekarang. Jemaah haji perlu menyediakan keperluan yang amat banyak.  Tempoh perjalanan haji ialah antara 3 bulan hingga 6 bulan.  Selain keperluan pakaian, jemaah haji terpaksa membawa sendiri keperluan bekalan makanan seperti beras, gula, kopi kayu api dan lain-lain keperluan dapur.  Berpuluh-puluh kotak atau tin perlu dibawa.


Suasana semasa pemergian juga amat menyayat hati. Apatah lagi majoriti yang pergi ialah golongan warga emas.  Bagaikan mengiringi satu kematian.


Ayahku menunaikan haji sebelum aku dilahirkan.  Mengikut kata emak aku, ayah pergi haji pada tahun 1952 semasa abangku yang sulung baru berusia 1 tahun. Masa itu usia bapak ialah 25 tahun.  Bapak menunaikan haji untuk kali kedua pada tahun 1986 bersama emak dan Amim.


Semua abang dan kakakku telah pun menunaikan Fardhu Haji, Khamim (dua kali; 1986 dan 2008), Rahimah (Ngah)  (1990) dan Jahrom (Long) (2005).  Adik-adikku Khairiah pergi bersama Ngah (1990) manakala Rakhiman pada tahun 1991.




Yang aku ingat, kumpulan yang bersama Embah ke Mekah ialah Embah Esah dan Embah Piah dari Johor Bahru.  Bayangkan atas kapal sahaja 17 hari pergi dan 17 hari balik.

 


Setelah bertahun aku hidup di atas muka bumi ini, kini  giliran aku dan isteriku Adibah untuk menyahut 'Panggilan Baitullah. 

Aku dan isteri bertolak ke Mekah dalam kumpulan KT 71 pada hari Sabtu, 30 Okt 2010 jam 0530 menaiki pesawat Air Saudia SV5515.

Ya Allah ya Tuhanku,  aku bukanlah Manusia yang Sempurna, kerap kali lalai dan tergelincir dari landasan keimanan.  Mudah melakukan dosa.  Lalai dengan perintahmu, melanggar laranganmu, menyakiti hati saudara dan rakanku samada secara sedar atau tidak.

Ampunkanlah dosaku Ya Allah,
Lembutkanlah hati insan-insan yang pernah aku berbuat dosa untuk memaafkan aku.


Semoga ALLAH mengampunkan segala dosaku dan mengurniakan aku dan isteri dengan Haji Mabrur.


Dimaklumi bahawa beberapa orang pegawai TUDM turut menunaikan fardhu haji pada tahun ini, antaranya:
  • Jen Tan Sri Azizan bin Ariffin TUDM (PAT)
  • Jen Tan Sri Rodzali bin Daud TUDM (PTU)
  • Brig Jen Dato Abdul Karim bin Abdul TUDM
  • Brig Jen Dato Azizool Ariff bin Abd Ghani TUDM
  • Kol Jaafar bin Kasim TUDM
  • Kol Kamarudin bin Mohamad TUDM
  • Kol Yazid bin Arshad TUDM
  • Lt Kol Muhammad Zaini TUDM
  • Lt Kol Ruslan Zaki bin Abd Ghani TUDM
  • Lt Kol Abdul Wahab bin Enok TUDM

Nota: sehingga tarikh penerbangan pulang ke tanah air, kecuali Lt Kol Ruslan Zaki, tidak seorang pun dari senarai di atas yang aku temui sepanjang tempoh aku berada di Makkah atau Madinah.

ULANGKAJI BAB HAJI DAN UMRAH


Sementara aku menunggu hari keberangkatanku, aku mengambil peluang mengulangkaji pelajaran Haji melalui internet dan U-Tube disamping nota-nota dari kursus pendek yang telah aku hadiri.  Semoga catatan ni akan memberi manfaat kepada sesiapa yang emmbaca blog aku ini.

PENGERTIAN HAJI

Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demostrasi atau perisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demontrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun kufur atau musyrikin tidak menyenanginya.

Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, "Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak", dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Sikap dan pendirian yang tegas dalam perkara 'ubudiah yang menjadi ajaran para anbia' sejak zaman-berzaman perlu diisytihar dengan jelas supaya sekali-kali jangan terlibat dengan syirik atau tanghut.

Sebaliknya hendaklah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah - diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya semata untuk Allah. Segala bentuk kesesatan, syirik atau penyembahan system yang menuju ke arah taghut wajib dijauhi.
Islam tidak menuntut sikap bertindak balas terhadap pihak yang memsongkan akidah, tetapi bersikap Islam, kebaikan dan keamanan. Bagaimanapun, jika mereka sering dan terus berusaha menyelewengkan manusia daripada mentauhidkan Allah maka diwujudkan suatu amalan ibadah dalam bentuk demonstrasi terang-terangan bagi melawan kerja-kerja mereka yang sesat sekalipun orang-orang musyrikin, golongan kuffar dan munafiqun tidak menyenanginya.

Soalan 1.0
Apakah perbezaan di antara haji dan umrah?

Jawapan :
 
a. Haji mesti di buat pada masa yang tertentu iaitu mulai daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah, manakala umrah boleh dibuat di sebarang masa.
b. Haji memerlukan wuquf di Arafat pada hari 9 Zulhijjah sedang umrah tidak ada wuquf.
c. Dalam amalan haji termauk bermalam di Muzdalifah dan di Mina juga melontar jamrah, manakala amalan umrah tidak ada semua itu.

Soalan 2.1
Siapakah yang diwajibkan mengerjakan haji dan umrah?

Jawapan

Orang yang wajib mengerjakan haji dan umrah ialah orang mukallaf yang berkemampuan iaitu ada perbelanjaan untuk dirinya dan orang yang ditanggungnya sama ada yang pergi bersamanya atau yang ditinggalkan, sihat badan, ada kenderaan, aman perjalanan dan tiudak untuk masa. Orang perempuan perlu ada mahram atau pergi dalam kumpulan ramai wanita. Yang bersuami perlu keizinan suami. Orang yang berhutang yang perlu dibayar pada masa ia hendak pergi perlu membayar hutangnya. Kalau hutangnya bertangguh perlu ada penjamin atau mendapat izin dari yang punya hutang.

Soalan 2.2.
Apakah hukum bagi seorang wanita menunaikan fardu haji dengan tidak diiringi oleh mahramnya sebaliknya hanya ditemani oleh sekumpulan wanita kenalannya?



Jawapan : 
Tidak wajib seseorang wanita itu pergi haji melainkan dengan mahram atau dengan sekumpulan wanita sekurang-kurangnya 3 orang selain dari dirinya sendiri; ini pada haji yang fardu. Pada haji sunat atau haji badal tidak diharuskan melainkan dengan mahram atau suami menurut pendapat yang muktamad. Tetapi bagi haji fardu seseorang wanita boleh (bukan wajib) pergi jika ia yakin akan keselamatan dirinya walaupun seorang diri.

Soalan 2.3
Apakah hukum bagi seorang wanita yang pakar dalam bidang kebajikan atau rawatan perubatan diambil bertugas untuk merawat para jemaah di Tanah Suci dan pemergiannya tidak diiringi oleh mahramnya?


Jawapan

Harus, jika ia yakin selamat pergi dan balik tanpa sebarang fitnah atau gangguan pada diri, harta atau maruahnya

Soalan 2.4 
Bolehkah seorang wanita yang sedang dalam iddah meneruskan rancangan menunaikan fardu haji?

Jawapan

Jika ia sudah berihram ia boleh meneruskannya. Kalau belum berihram ia mesti memegang iddah dan pulang jika boleh. Kalau tidak, ia boleh melakukan apa yang lebih selamat dan lebih mudah untuknya. Adapun wanita yang hanya baharu berdaftar dan sudah membayar wang kepada agensi haji kemudian suaminya meninggal dunia maka wanita itu tidak haruskan belayar kerana memegang iddah adalah wajib dengan nas Al-Quran. Dalam masa iddah wanita itu tidak harus keluar dari rumah melainkan kerana darurat yang mendesak seperti mencari nafkah dan sebagainya. Ibadat haji walaupun wajib tetapi saat kewajipannya belum tiba pada masa itu dan ia boleh dilambatkan, sedang memegang iddah adalah wajib dari saat kematian suaminya. Andainya wanita itu hanya hendak mengerjakan haji yang kedua atau ketiga maka tidak ada alasan langsung untuk pergi. Dalam kedua-dua hal sama ada haji wajib atau haji yang kedua atau ketiga kalau wanita itu pergi maka hukumnya adalah haram walaupun ada orang mengatakan walaupun perginya haram tetapi hajinya sah juga, maka perkataan yang semacam ini hanya menggalakkan wanita itu pergi pada hal syarak melarangnya pergi. Dan menurut adab dan peraturan haji pemergian seseorang hendaknya suci dari sebarang dosa agar ia mendapat haji yang mabrur. Dari itu pihak wanita yang kematian suami perlu memerhatikan masalah ini dan janganlah pergi dalam masa iddah. Pihak agensi-agensi haji atau sesiapa yang bekerja menguruskan haji mestilah mengambil langkah-langkah persediaan untuk menghadapi masalah orang yang mesti menarik diri dan memulangkan wang yang sudah dibayarnya dengan cara yang tidak merugikan mana-mana pihak dan tidak melanggar hukum-hukum syarak.

Soalan 2.5 
Adakah berhak seorang suami melarang isterinya menunaikan hajinya?

Jawapan

Ya. Menurut mazhab Syafie suami berhak melarang kerana syarak mewajibkan isteri patuh kepada suami. Pemergian isteri ke Makkah tanpa suami boleh menimbulkan kesulitan kepada suami. Sekiranya suami melarang tanpa alasan yang diharuskan oleh syarak maka dialah yang menanggung dosanya.

Soalan 2.6 
Apakah hukum haji kanak kanak yang belum baligh dan adakah dapat pahala melakukannya?

Jawapan

Kanak kanak yang belum baligh sah hajinya. Tetapi hajinya belum menggugurkan fardunya. Setelah ia baligh kelak dan cukup syarat-syarat hajinya, wajib ia menunaikannya. Pahala hajinya dituliskan untuk kanak-kanak itu, manakala warisnya pula mendapat pahala membantu dalam perkara kebajikan.

Soalan 2.7 
Bagaimana cara bapa atau wali berniat untuk melakukan kerja-kerja haji bagi kanak-kanak yang belum mumaiiz?

Jawapan
Kanak-kanak yang belum mumaiyiz hendaklah diihramkan oleh walinya dengan niat:-
"Aku ihramkan kanak-kanak ini/namanya dengan haji/umrah kerana Allah ta’ala."
Kemudian kanak-kanak ini hendaklah dibawa ke tempat-tempat yang perlu dikunjungi oleh jemaah. Dalam perkara seperti tawaf, sai dan melontar misalnya, wali hendaklah membuat untuk dirinya dahulu kemudian baru boleh dibuat untuk anaknya


 

SEJARAH HAJI

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :
" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antaranya adalah seperti berikut:

  • Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
  • Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".
  • Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
  • Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud:  " Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Soalan
Apakah hukum menghajikan orang yang telah meninggal dunia?
 


Jawapan

Jika orang yang telah meninggal dunia itu belum mengerjakan haji sedang dia ada meninggalkan harta maka hukumnya wajib dihajikan daripada hartanya. Kalau ia tidak ada harta peninggalan tidaklah wajib waris menghajikannya tetapi kalau dibuatkan adalah baik. Ini pada haji pertama. Adapun jika si mati sudah pernah mengerjakannya, semasa hidupnya maka tidaklah sah dihajikan lagi kecuali jika dia ada bernazar atau dia berwasiat supaya dihajikan.

Soalan
Adakah wajib dihajikan orang yang telah meninggal dunia dari harta peninggalannya sedangkan semasa hayatnya beliau belum lagi menyempurnakannya walaupun kemampuannya telah mencukupi?


Jawapan

Ya, wajib di hajikan daripada harta peninggalannya kerana kewajipan itu tertakluk kepada harta dan menjadi tanggungjawab waris mengeluarkan bahagian hajinya.

Soalan
Apakah wajib ke atas si waris untuk menghajikan orang yang meninggal dunia yang tidak meninggalkan sebarang harta pusaka?


Jawapan

Tidak wajib.

Soalan
Apakah pahala yang dapat diperolehi jika mengerjakan haji bagi orang yang meninggal dunia?


Jawapan

Orang yang mengerjakannya dapat pahala membantu dalam perkara kebajikan. Orang yang mati itu pula gugur kewajipan.

Soalan
Bolehkah seorang yang tua atau uzur kerana sakit dan tidak ada harapan sembuh mewakilkan kepada orang lain untuk mengerjakan haji bagi dirinya?


Jawapan

Ya. Boleh mewakilkan orang lain jika ia tidak ada harapan lagi untuk mengerjakan hajinya sendiri. Orang ini termasuk dalam erti kata "makdhub".

Soalan
Bolehkah seorang wanita mengerjakan haji untuk seorang lelaki yang meninggal dunia?


Jawapan

Boleh.

Soalan
Bolehkah seseorang mengerjakan haji untuk orang yang meninggalkan dunia lebih dari seorang?


Jawapan

Setiap orang hanya boleh mengerjakan haji untuk seorang di dalam satu-satu tahun itu.

Soalan
Bolehkah seorang mengerjakan umrah untuk orang lain sesudah dia mengerjakan haji dan umrah wajibnya?


Jawapan

Ya. Boleh.

FALSAFAH HAJI: MENUJU KE JALAN ALLAH


Kita hendaklah sentiasa bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita sehingga dengan berbekalkan iman yang teguh kita telah dapat mencari penentuan hidup yang diredhai Allah. Kita juga harus bersyukur kerana kita telah dan dipilih oleh Allah menjadi tetamu-Nya dengan mengunjungi Baitullah bagi menunaikan fardhu haji. Insya-Allah. Mudah-mudahan Ibadat Haji yang akan dikerjakan menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu pengajaran dan pedoman bagi meningkatkan iman dan amal kita seterusnya bagi menuju jalan yang diredhai Allah untuk kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

PENGGUNAAN HARTA
 
Menunaikan fardhu haji diwajibkan kepada mereka yang berkuasa sampai kepada-Nya, yakni mereka yang mempunyai kemampuan dalam semua aspek, khasnya kemampuan perbelanjaan di mana aspek tersebut jika digunakan bagi tujuan menyampaikan diri ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji adalah menepati kehendak kegunaan harta yang sebaik-baiknya.

IBADAH HAJI BEKALAN UNTUK AKHIRAT 


Ibadat haji selain daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana ini. Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah.

PENGORBANAN HAJI 


Setiap ibadat yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan. Ibadat haji khususnya bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram. Ia juga merupakan satu pengorbanan yang luarbiasa dari kelaziman menunaikan ibadt-ibadat lain dalam hidup kita sepanjang tahun, umpamanya sembahyang lima waktu boleh dilakukan dalam rumah sendiri, di bilik berkipas atau berhawa dingin, begitu juga puasa boleh berbaring-baring malah tidur pun boleh di bilik yang selesa dengan tidak perlu keluar rumah.

Ibadat haji tidak memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang luar dari kebiasaan. Dalam ertikata lain, kita mesti keluar dari kelaziman dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara sendiri. Kita terpaksa berkhemah di Arafah dan Mina dengan pakaian putih di atas padang pasir memperkata dan membisikkan sesuatu kepada Allah bagi memohon keampunan dan keredhaan sebelum kembali kepada-Nya. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah sudah tentu mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar.

Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 29, maksudnya: "Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban".

Dengan yang demikian makanlah darinya (daging qurban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakankan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu)".

Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan supaya haji itu hendaklah disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan sebab jauhnya berjalan. tah ada balasannya, balasan bagi haji ada dinyatakan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Di antara hadisnya dari Abu Hurairah, maksudnya: "Barangsiapa menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang, maka bersihlah ia dari dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya".

Soalan
Apakah istilah berkemampuan dalam ibadat haji?


Jawapan

Kemampuan ialah:
a. Ada perbelanjaan bagi diri sendiri, tanggungan yang dibawa dan orang yang tinggal yang wajib ditanggung nafkahnya.
b. Sihat badan
c. Aman perjalanan dan ada kenderaan.
d. Tidak suntuk masa untuk pergi setelah ada kemampuan pada tahun itu.

Soalan
Adakah hukumnya salah, apabila seseorang mengerjakan haji dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh orang lain?


Jawapan

Tidak salah. Tetapi tidak wajib ia menerimanya kerana takut menanggung budi.

Soalan
Bolehkah seseorang berhutang untuk menunaikan fardhu haji?


Jawapan

Tidak wajib haji selagi belum ada kemampuan. Dengan ini tidak perlu berhutang. Kalau dia berhutang juga sedang dia tidak ada cagaran untuk membayarnya maka ia berdosa kerana menyusahkan dirinya dengan perkara yang belum diwajibkan.

Soalan
Adakah dibolehkan seorang mengerjakan haji sedangkan dia belum melunaskan semua hutangnya yang dibayar setiap bulan dari potongan gajinya?


Jawapan

Ya, dia boleh mengerjakan haji kerana ia ada mempunyai cagaran untuk membayar hutangnya. Malah jika dia ada wang simpanan yang memang tidak digunakannya untuk membayar hutang, wajiblah ia mengerjakan haji apabila sampai masanya sebagaimana ia wajib menzakatkan wang itu melainkan kalau digunakannya wang itu semua untuk membayar hutangnya itu.

Soalan
Sahkan haji seseorang yang menggunakan wang si-noman di mana dia adalah penerima yang pertama?


Jawapan

Sah hajinya

RUKUN/ WAJIB HAJI DAN UMRAH


Soalan
Terangkan mengenai rukun dan wajib haji?


Rukun haji

  • Niat ihram mengerjakan haji
  • Wukuf di Arafah
  • Tawaf di Kaabah
  • Sa'ie di antara Bukit Safa dan Marwah
  • Bergunting atau bercukur rambut
  • Tertib pada kebanyakan rukunnya

Rukun umrah

  • Niat ihram mengerjakan umrah
  • Tawaf
  • Sai'e
  • Bergunting atau bercukur
  • tertib

Wajib haji

  • Niat ihram di Miqat tertentu
  • Bermalam di Muzdalifah
  • Melontar Jumrah 'Aqabah'
  • Bermalam di Mina selama dua atau tiga malam Tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah,
  • Melontar ketiga-tiga Jumrah pada hari tasyriq, iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah;
  • Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram; dan
  • Tawaf Wada'

Wajib umrah

  • Niat ihram di Miqat
  • Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram

Soalan
Bagaimana cara mengerjakan haji dan umrah?

Jawapan

Ada 3 macam cara:
a. Cara tamattuk iaitu mendahulukan umrah sebelum haji dalam bulan-bulan haji.
b. Cara ifrad iaitu mendahulukan haji sebelum umrah di dalam bulan-bulan haji.
c. Cara qiran iaitu dibuat haji dan umrah sekali gus

Soalan
Apakah perbezaan cara-cara tersebut di atas:-


Jawapan



HAJI IFRAD
Ifrad maknanya " berasingan" jadi haji ifrad itu ialah mengerjakan haji dan umrah secara berasingan, iaitu dikerjakan haji dahulu hingga selesai dan kemudian baharulah dikerjakan umrah dalam tahun itu atau dikerjakan umrah sebelum menjelang bulan-bulan haji setelah itu barulah dikerjakan haji.

HAJI TAMATTU'
Tamattu' ertinya bersenang-senag, jadi Haji Tamattu' itu ialah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji, setelah selesai mengerjakan umrah lalu bersenang-senang dengan sebab telah tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram. Kemudian setelah sampai waktu haji berihramlah untuk mengerjakan haji pula. Haji jenis ini dikenakan DAM mengikut syarat-syaratnya.

HAJI QIRAN
Qiran ertinya bersama-sama, jadi Haji Qiran itu ialah dikerjakan kedua-dia haji dan umrah dengan serentak, iaitu dengan satu tawaf, satu sa'ie dan satu bergunting, kerana kerja-kerja umrah itu dimasukkan dalam kerja-kerja haji. Haji cara ini juga wajib melaksanakan DAM. Berhubung dengan kebolehan mengerjakan haji Qiran ini sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
"Sesiapa mengerjakan haji bersama umrah (iaitu Qiran) maka sahlah dia kerjakan satu tawaf dan satu sai'e sahaja untuk kedua-dua haji dan umrah itu" (Riwayat - Turmizi)

Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan di antara haji tamattuk, ifrad dan qiran?


Jawapan

Yang lebih afdal haji ifrad. Tetapi di sana ada satu pendapat bahawa orang yang datang dari jauh dan lama pula duduk di Makkah haji tamattuk lebih afdal kerana lebih mudah, terutama orang yang tidak biasa dengan cuaca Makkah

Soalan
Seorang yang mengerjakan umrah dalam bulan-bulan haji kemudian ia keluar ke Madinah dan bermiqat haji di Bir Ali, adakah haji cara begini dikatakan haji ifrad atau tamattuk dan adakah wajib membayar dam?


Jawapan

Haji ini dinamakan haji tamattuk tetapi ia tidak di kenakan dam. Yang dikenakan dam itu kalau ia telah meninggalkan miqat haji tetapi sekarang ia telah keluar dan bermiqat dari miqat haji.

Soalan
Seorang yang telah berniat mngerjakan umrah tetapi kedatangan haidnya tidak membolehkan dia menyempurnakan umrah hingga ke hari Arafah. Bolehkah dia menukar niatnya ke haji ifrad dan adakah wajib dia membayar dam?


Jawapan

Selagi dia belum tawaf umrah dia boleh memasukkan niat haji ke dalam umrahya menjadi haji qiran dan dia dikenakan dam. Kalau sudah mula tawaf tidaklah boleh ia menukar niatnya.

Soalan
Apakah boleh mengerjakan haji ifrad atau qiran bagi jemaah yang datang dari daerah Asia Tenggara dengan tidak membawa kambing korban?


Jawapan

Tidak wajib membawa kambing (hadyun) bagi haji ifrad atau qiran menurut mazhab Syafii hanya sunat muakkadah sahaja. Itu pun bukanlah mesti daripada negerinya lebih-lebih lagi seperti kita yang jauh ini keadaan tidak membenarkan. Ia hanya dibawa daripada miqat

MIQAT DAN IHRAM

Soalan
Apakah perbezaan di antara miqat makani dan zamani?


Jawapan

Miqat makani ialah tempat kita menunaikan niat. Miqat zamani pula ialah masa kita memulakan niat. Miqat makani bagi haji untuk orang yang datang dari jauh ialah 5 tempat menurut jurusan daerah masing-masing. Tempat-tempat itu tersebut dalam hadis Nabi saw. Miqat ini juga menjadi miqat umrah mereka. Orang yang tinggal di Makkah atau kawasan sekitarannya miqat hajinya ialah tempat tinggalnya. Adapun miqat umrahnya ialah tanah halal yang terdekat seperti Taneim atau yang jauh seperti Ja’ranah. Tidak ada miqat zamani bagi amalan umrah. Miqat zamani bagi haji ialah: mula daripada 1 Syawal hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah.

Soalan
Apakah ertinya ihram?

Jawapan
Erti Ihram ialah mengharamkan atas dirinya segaola yang diihramkan semasa ihram. Tetapi ianya tidak berlaku melainkan setelah berniat. Oleh kerana itu ihram juga diertikan niat. Orang yang sudah berniat walaupun tidak memakai ihram atau dia membuat perkara yang terlarang hajinya adalah sah tetapi ia berdosa dan dikenkan dam. Kecuali jika ia bersetubuh sebelum tahallul awal maka batal hajinya.

Soalan
Adakah wanita yang didatangi haid dibolehkan mandi sunat dan berniat ihram?


Jawapan

Ya, boleh dan sunat ia mandi kerana ihram dan mandi-mandi haji yang lainnya.

Soalan
Adakah boleh berniat ihram dengan tidak memakai ihram?


Jawapan

Boleh. Tetapi berdosa dan dikenakan dam





Soalan
Apakah hukum bagi seseorang yang tidak menjatuhkan niat di miqat?


Jawapan

Hukumnya haram. Kerana setiap orang yang menuju ke Makkah dengan tujuan haji atau umrah, mesti berihram dengan niat dan dikenakan dam jika melanggar miqat.

Soalan
Apakah hukum bagi seorang yang berniat ihram haji atau umrah setelah melewati miqat?


Jawapan

Niatnya sah tetapi dikenakan dam jika ia telah melewati kesuluruhan miqat.

Soalan
Bolehkah seorang yang telah berniat ihram haji, menukar niat untuk mengerjakan umrah?


Jawapan

Tidak boleh.

Soalan
Adakah dalil yang menguatkan kelebihan bermiqat di Ja’ranah untuk berihram umrah?


Jawapan

Dalilnya ialah kerana Nabi saw bermiqat umrah dari situ pada tahun pembukaan Makkah.
Larangan dalam ihram

Soalan 
Adakah seseorang itu dikatakan telah melanggar larangan semasa berihram jika dia melakukan perkara-perkara berikut :-



Menyapu minyak angin (yang wangi baunya)?

Jawapan 

Kalau ia bertujuan mendapatkan bau wanginya ia dikenakan dam dan haram. Tetapi kalau merupakan ubat yang perlu digunakan tidak ada ubat lain yang tidak wangi, boleh digunakan dan dibayar dam.
 



Mengucup Hajar Aswad (Hajar Aswad dibubuh minyak atar)?

Jawapan

Jika diketahui bahawa Hajar itu ada wangi-wangian haram ia mengucupnya kalau dikucupnya dikenakan dam. Kalau ia tidak mengetahuinya lalu tersentuh tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. 


Memakai sabun wangi ketika mandi dan membasuh?

Jawapan

Kena dam dan haram.

Menggunakan ubat gigi?

Jawapan

Jika ubat gigi wangi kena dam dan haram.


Memakai tali pinggang yang hujungnya dimasukkan ke dalam sangkutannya? 

Jawapan

Tidak haram dan tidak kena dam

Memakai jam tangan yang talinya bercantum?

Jawapan

Tidak haram dan tidak kena dam.
Memakai rantai cermin mata?

Jawapan

Tidak haram dan tidak kena dam.

Memakai krim atau lotion di bibir atau tapak kaki yang kering dan berpecah-pecah untuk mengurangkan rasa perit-pedih?
Jawapan
Jika tidak wangi tidak haram dan tidak kena dam.

Soalan
Melakukan mandi sunat ihram dan menggunakan pakaian ihramnya di Madinah tetapi terlupa untuk berniat di miqat. Adakah sah hajinya itu?

Jawapan

Ya, sah hajinya tetapi ia kena dam kalau belum berniat hingga terlepas keseluruhan miqat.

Soalan
Bolehkah memakai ihram bagi lelaki dengan disimpul atau disemat dengan pin?


Jawapan

Tidak boleh dan kena dam kecuali pada bahagian bawah pada kain yang separas pinggang boleh digunakan tali pinggang atau sebagainya.

Soalan
Apakah hukum seorang doktor semasa dalam ihram terpaksa memakai sarung tangan plastik kerana tugas merawat pesakit. Adakah berdosa dan dikenakan dam?


Jawapan
Tidak berdosa jika perlu dan tidak dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukum seorang jemaah haji wanita yang diserang panas (heat stroke) terpaksa ditanggalkan tudung kepalanya untuk dimandikan dengan air batu?



Jawapan
Harus dan tidak kena dam.

Soalan
Bolehkah semasa berihram menghisap rokok atau paip yang tembakaunya berbau wangi?


Jawapan

Hukumnya haram dan dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukum bagi jemaah Haji semasa berihram mencabut atau membinasakan pokok-pokok atau membunuh binatang?


Jawapan

Mencabut pokok di tanah haram adalah terlarang bagi orang yang ihram atau tidak berihram dan dikenakan dam. Membunuh binatang, tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Yang dikenakan dam atas orang yang berihram ialah memburu binatang darat yang halal di makan sama ada di Makkah atau luarnya. Kalau tidak berihram terlarang juga dalam tanah haram.

Soalan
Adakah benar melakukan sekali umrah dari Ja’ranah sama dengan tujuh kali umrah dari Taneim?


Jawapan

Tidak ada keterangan yang jelas mengenai perkara yang tersebut itu. Yang tersebut dalam at-Tuhfah karya Ibnu Hajar bahawa al-Azraei menghikayatkan daripada al-Jundi bahawa tiga ratus orang nabi pernah berihram dari Ja’ranah. Wallahu a’alam.

TAWAF

Soalan
Berapakah jenis tawaf?

Jawapan


a. Tawaf ada enam jenis.
b. Tawaf Haji
c. Tawaf Umrah
d. Tawaf Qudum
e.Tawaf Sunnat
f. Tawaf Nazar
g. Tawaf Wada




Soalan
Bagaimana mengerjakan tawaf dan di mana tawaf bermula dan berakhir?


Jawapan 


Caranya:
Apabila seseorang itu masuk ke Masjid al-Haram pada mulanya hendaklah ia menuju ke Hajar Aswad lalu mengucupnya dan sujud atasnya. Kemudian ia berdiri mengadap Baitullah sedang keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad di kanannya lalu berniat. Kemudian dia pun mula berjalan dengan mengirikan Baitullah. Dan yang lebih afdal jika keadaan mengizinkan ia bergerak ke kanan Hajar Aswad mengadap Baitullah hingga melalui keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad kemudian ia mengirikan Baitullah dan memulakan perjalanan tawafnya.

Soalan
Bagaimana cara mengatasi masalah bagi seorang yang tidak dapat menghafal atau membaca bacaan-bacaan yang ikhaskan semasa mengerjakan tawaf dan sai?


Jawapan

Bacaan di dalam tawaf dan sai semuanya sunat. Malah semua bacaan di dalam haji dan umrah adalah sunat. Tidak mengapa dibacanya apa sahaja doa yang diketahui atau membaca surah-surah pendek dari Al-Quran semasa tawaf, sai dan wukuf.

Soalan
Adakah batal air sembahyang apabila penyentuhan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa bertawaf?


Jawapan


Hukum yang muktamadnya adalah batal jika penyentuhan kulit berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sudah mencapai umur yang diingini. Tetapi di dalam mazhab Syafii kita ada pendapat bahawa yang disentuh tidak batal. Pendapat ini boleh dipakai dalam keadaan darurat. Menurut pendapat Hanafi pula yang muktamad tidak batal melainkan dengan syahwat - pendapat ini boleh ditaklid dengan syarat kita berwuduk menurut mazhab Hanafi dengan menyapu sekurang-kurangnya suku kepala.

Soalan
Apakah hukum seoran yang mengerjakan haji ifrad tetapi tidak melakukan tawaf qudum?

Jawapan
Haji ifradnya sah kerana tawaf qudum adalah sunat.

Soalan
Bolehkah seorang melakukan tawaf haji atau umrah tanpa niat untuk bertawaf?


Jawapan

Boleh. Kerana niat ihram haji dan umrah mencakup semua amalan haji dan umrah

Soalan
Adakah sempurna satu pusingan tawaf seorang yang terjatuh semasa melakukannya dan beberapa kali terlepas dari mengirikan bahunya ke Kaabah kerana ditolak?


Jawapan

Kalau ia yakin bahawa bahu kirinya telah terpesong dari Kaabah semasa ditolak atau terjatuh itu dan ada bahagian tembok Kaabah itu yang tidak sempurna dikelilingi maka hendaklah ia berundur ke belakang untuk menyempurnakan perjalanan tawafnya, jika tidak munkin, hendaklah ia menambah bilangan untuk menyempurnakan tujuh pusingan yang sempurna.

Soalan
Adakah sah tawaf seorang yang bercakap-cakap atau memberi isyarat kepada orang lain semasa melakukan tawaf?


Jawapan

Sah tawafnya. Tetapi perbuatannya itu makruh melainkan jika perlu atau bercakap sesuatu yang baik. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: Bertawaf di Baitullah itu adalah salat (sembahyang), hanya Allah menghalalkan bercakap semasa tawaf, maka sesiapa yang perlu bercakap, bercakaplah dengan sesuatu yang baik.

Soalan
Apakah yang harus dilakukan oleh perempuan yan datang haidnya sebelum tawaf ifadhah. Bolehkah mereka meninggalkan tawaf itu dan terus pulang tanpa tawaf ifadhah?


Jawapan

Tawaf ifadhah dalah rukun haji yang mesti dikerjakan. Orang yang belum mengerjakan tawaf ifadhah walaupun dia telah bertahallul awal namun ada lagi perkara yang haram atasnya selagi ia belum tawaf iaitu akad nikah dan bersatu suami/isteri dan hajinya atau umrahnya belum lagi sempurna.

Andainya seseorang wanita yang datang dari jauh itu tidak dapat bertawaf ifadhah kerana ia kedatangan haid misalnya atau nifasnya belum selesai dan dia terpaksa pulang bersama jemaah yang, maka hukumnya seperti berikut:

a. Kalau dia telah membuat syarat semasa berniat ihram andainya ia uzur ia akan bertahallul, dia boleh bertahallul, dia boleh bertahallul dengan bergunting dan pulang tetapi hajinya belum sempurna. Ia kena haji lagi pada bila-bila masa.

b. Kalau dia tidak membuat syarat maka caranya hendaklah ia keluar hingga sampai ke kawasan sejauh dua marhalah dan menyembelih seekor kambing di situ dan bertahallul dengan bergunting. Kewajipan bertawaf ini masih ada atasnya dan wajib melakukan pada bila-bila masa dengan berihram.

c. Dia bertaklid dengan Mazhab Hanafi/Hambali yang tidak mensyaratkan suci ketika bertawaf. Lalu dia bertawaf dan sah hajinya tetapi ia berdosa kerana masuk masjid dalam keadaan haid dan dikenakan dam seekor unta. Ini diharuskan kalau sukar baginya menunggu hingga suci.

Soalan
Bolehkah seorang menjatuhkan niat mengerjakan tawaf di antara Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad?


Jawapan

Ya, boleh.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan kota Makkah selepas hari Tasyrik untuk menginap sementara di Jeddah buat beberapa hari sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah?


Jawapan

Hukumnya adalah harus. Tetapi yang afdalnya dibuat Tawaf Ifadhah itu pada hari kesepuluh Zulhijjah setelah melontar Jamrah Aqabah. Ataupun sebaik-baik selesai melontar hari Tasyrik.

Soalan
Bolehkah seseorang yang hendak pergi ke Jeddah atau Medinah kerana sesuatu urusan dan akan kembali semula ke Makkah tanpa mengerjakan tawaf wada’?


Jawapan

Wajib mengerjakan tawaf wada’. Kecuali orang yang memang berulang alik kerana kerjanya seperti pemandu teksi misalnya.

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seseorang yang meninggalkan tawaf wada’ kerana uzur atau darurat?


Jawapan

Tidak dikenakan dam.

Soalan
Adakah tawaf wada’ boleh diganti dengan ibadat lain?


Jawapan

Digantikan dengan dam. Jika ditinggalkan tanpa uzur hukumnya berdosa.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan tawaf wada’ dengan sengaja dan apakah damnya? Adakah dam kerana tidak bertawaf Wada’ boleh digantikan dengan puasa?


Jawapan

Hukumnya berdosa. Damnya ialah menyembelih seekor kambing di tanah haram. Jika tidak mampu maka hendaklah puasa 10 hari - 3 hari di Makkah dan 7 hari apabila kembali ke negeri sendiri.

SAIE DI SAFFAH DAN MARWAH

Soalan
Bagaimana mengerjakan sai dan di mana sai bermula dan berakhir?


Jawapan

Mengerjakan sai ialah dengan berjalan cepat dan memendekkan langkah. Apabila sampai di kawasan yang bertanda hijau pada tiang-tiang di tepi Masa’a itu sunat pula berlari-lari anak bagi kaum lelaki sahaja. Sai bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

Soalan
Adakah sah sai seorang tanpa wuduk?


Jawapan

Sah sainya.






Soalan
Adakah sai sunat boleh dikerjakan seperti tawaf sunat?


Jawapan

Tidak ada sai sunat.

Soalan
Adakah sah sai seseorang yang tidak memijakkan kakinya ke batu asalnya?


Jawapan

Sah hajinya asalkan dia menghbiskan jalannya hingga ke kaki bukit dan afdal ia naik sedikti.




Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang bertahallul di Safa kerana salah kira?

Jawapan

Jika sai nya sudah cukup bilangannya sahlah tahallulnya. Jika belum, ia wajib menyempurnakan sai nya dan dia dikenakan dam kerana membuang rambut sebelum masanya

WUKUF DI ARAFATH

Soalan
Apakah yang dikatakan wukuf di Padang Arafah?


Jawapan

Wukuf ertinya berhenti atau berdiri. Tetapi maksudnya ialah menghadirkan diri di padang Arafah pada masa antara zohor hari 9 Zulhijjah hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah. Cukup wukuf walau sekejap atau llu sahaja dengan syarat orangnya sedar - sempurna akal. Di mana-mana sahaja dari bumi Arafah itu boleh jadi tempat wukuf, asal sahaja ianya dalam kawasan bumi Arafah. Dan tidak pula disyaratkan orangnya itu mesti memijak bumi Arafah. Andainya ia hanya berada di dalam kereta atau bas dan tidak turun menjejakkan kakinya di bumi itu juga sah wukufnya. Hanya yang ada khilafnya pada udara Arafah - menurut pendapat yang lebih kuat bahawa udara Arafah itu dikira Arafah seperti udara yang bertentang Kaabah dikira Kaabah. Andainya seseorang itu tidak dapat wukuf tidaklah sah hajinya dan hendaklah menruskan amalannya dan bertahallul dengan amalan umrah serta wajib membayar dam. Ia juga wajib mengqada haji pada tahun hadapannya.

Soalan
Sebutkan syarat-syarat berwukuf di Arafah?


Jawapan

Berwukuf di kawasan bumi Arafah. Orang yang berwukuf sudah berniat haji.
Masa wukuf mulai dari waktu Zohor 9 Zulhijjah hingga sejurus sebelum fajar 10 Zulhijjah. Orang yang berwukuf hendaklah sempurna akal.

Soalan
Apakah sah haji seorang seandainya dia tidak melakukan perkara-perkara wajib haji?


Jawapan

Hajinya sah tetapi ia dikenakan dam atas setiap wajib yang ditinggalkannya.

Soalan
Seandainya seorang jemaah meninggal dunia semasa berwukuf di Arafah, wajiblah warisnya menghajikannya sekali lagi?


Jawapan

Ya. Wajib menghajikannya - kerana rukun-rukunnye belum selesai. Itupun jika ada harta peninggalannya.

TAHALLUL AWAL DAN AKHIR

Soalan
Apakah erti Tahallul?


Jawapan 

Tahallul ialah keluar dari ihram dengan berukur atau bergunting setelah sampai masanya.
Tahallul awal : ialah bercukur lebih awal di Mina sebik baik sahaja sampai dari Muzdalifah pada 10 Zulhijjah setelah melontar jamrah.
Tahallul thani : ialah setelah bertawaf dan bersai haji sekembalinya ke Makkah setelah selesai wuquf.

Soalan
Apakah perbezaan tahallul umrah dan tahallul haji?


Jawapan

Tidak ada perbezaan. Cuma tahallul haji dua macam awal dan thani.

Soalan
Adakah seorang itu boleh menggunting/mencukurkan orang lain sebelum ia menggunting/mencukur diri sendiri?


Jawapan

Boleh. Kerana yang dilarang mencukur diri sendiri atau orang lain ialah sebelum masa yang diharuskan bertahallul.




Soalan
Bolehkah seorang yang mengerjakan haji tamattuk itu bertahallul sebelum melakukan penyembelihan dam?


Jawapan

Boleh. Kalau damnya berupa penyembelihan kambing, afdal disembelih pada pagi Hari Raya Haji. Tetapi kalau damnya berpuasa iaitu 3 hari pada masa haji elok dibuat pada 3 hari sebelum Arafah dengan syarat setelah dia berihram haji iaitu pada hari keenam, ketujuh dan kelapan bulan Zulhijjah.

Soalan
Bolehkah seorang wanita yang sedang dalam haid bertahallul?


Jawapan

Boleh

Soalan
Sesudah melontar Jamrah Aqabah, seoran membuka ihramnya sebelum bertahallul. Adakah dia dikenakan dam dan apakah bentuk damnya?


Jawapan

Jika ia memakai pakaian yang berjahit sebelum bercukur ia dikenakan dam. Damnya ialah menyembelih seekor kambing atau memberi makan 6 orang fakir miskin setiap orang setengah gantang atau puasa tiga hari. Boleh dipilih salah satu daripadany

MABIT DI MUDZALIFAH DAN MINA

Soalan
Apakah perbezan di antara bermalam di Muzdalifah dan di Mina?


Jawapan

Bermalam di Muzdalifah cukup dengan sekejap masa selepas tengah malam manakala bermalam di Mina mesti dengan masa yang terbanyak dari bahagian malam.

Soalan
Adakah dikenakan dam jemaah haji yang tidak bermalam di Muzdalifah kerana dibawa oleh pemandu bas langsung ke Mina sebelum lewat tengah malam?


Jawapan

Tidak dikenakan dam kalau ia tidak mengetahuinya atau terpaksa berangkat sama.

Soalan
Bolehkah seorang yang uzur kerana sakit dibenarkan tidak bermalam di Muzdalifah dan adakah dia berdosa dan dikenakan dam?


Jawapan

Dibenarkan, tidak berdosa, dan tidak dikenakan dam.

Soalan
Apakah hukumnya bagi jemaah haji yang tidak dapat bermalam di Muzdalifah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah kerana bas lewat tiba?


Jawapan

Gugur bermalam di Muzdalifah dan tidak dikenakan dam.




Soalan
Apakah mengutip anak-anak batu hanya boleh dibuat di Muzdalifah? Apa hukumnya jika mengutip di tepi-tepi jalan di Mina?


Jawapan

Sunat mengutip anak-anak batu di Muzdalifah kerana Nabi saw menyuruh sepupunya al-fadhi bin Abbas mengutipnya untuk baginda pada waktu Subuh di situ. Tetapi ia boleh dikutip dimana-mana sahaja di tanah haram; hanya makruh dikutip batu yang sudah digunakan untuk melontar atau tempat yang najis.

Soalan
Apakah hukum bermalam di Muzdalifah sehingga terbit fajar dalam keadaan sekitaran yang sempit dan penuh sesak hingga menyulitkan?


Jawapan

Hukumnya adalah sunat dengan syarat tidak menyukarkan.


MELONTAR JUMRAH

Soalan
Bilakah masa bagi melontar jamrah Aqabah pada hari Nahar?


Jawapan

Sebaik sampai dari Muzdalifah selepas tengah malam 10 Zulhijjah.





Soalan
Adakah sah melontar tiga jamrah pada hari Tasyrik tanpa melontar jamrah Aqabah pada hari Nahar?


Jawapan 

Tidak sah melontarnya. Kerana wajib tertib pada melontar pada hari-hari tersebut.




Soalan
Adakah sah melontar tiga jamrah pada hari Tasyrik tanpa melontar jamrah di Hari Tasyrik sebelum tergelincir matahari?


Jawapan

Tidak sah untuk melontar hari itu. Tetapi sah untuk hari semalam yang telah berlalu.

Soalan
Sesudah melontar jamrah Aqabah pada 10 Zulhijjah dan kembali ke Makkah untuk bersembahyang Subuh di Makkah, boleh atau tidak masuk ke Mina pada 10 Zulhijjah selepas waktu Isyak?


Jawapan

Boleh. Asal sahaja bermalamnya melebihi dari separuh malam.

Soalan
Adakah sah melontar Jamrah Aqabah di sebelah belakang? Apakah yang harus dilakukan jika ini terjadi? Adakah dikenakan dam kerana ia bercukur selepas melontar?


Jawapan

Tidak sah. Ia dikenakan dam kerana bercukur sebelum masanya. Kalau masa melontar masih ada ia wajib melontar semula. Jika sudah selesai masanya iaitu keseluruhan hari Tasyrik dia dikenakan dam pula kerana tidak melontar.

Soalan
Bolehkah seorang melontar jamrah untuk dirinya dan orang lain dengan sekali jalan?


Jawapan

Tidak boleh. Ia mesti menyelesaikan semua lontaran bagi dirinya pada tiga-tiga jamrah
 Nafar awal dan thani

Soalan
13.1 Apakah yang dikatakan nafar awal dan nafar thani?


Jawapan

Nafar awal ialah beredar meninggalkan Mina lebih awal iaitu bermalam hanya dua malam dan melontar hanya dua hari iaitu 11 dan 12 Zulhijjah.
Nafar thani ialah bermalam 3 malam dan melontar 3 hari.

Soalan
13.2 Apakah syarat-syarat nafar awal?


Jawapan

Syarat nafar awal ialah setelah bermalam dua malam, malam 11 dan 12 dan melontar dua hari 11 dan 12 Zulhijjah serta berangkat keluar dari Mina sebelum Maghrib hari 12 Zulhijjah.

Soalan
13.3 Bolehkah seorang yang telah berniat nafar awal, pulang semula ke Mina pada hari 13 Zulhijjah atas sebab-sebab tertentu?


Jawapan

Boleh

DAM

Pengertian DAM dari segi bahasa ialah darah.

Ibadah gantian yang berbentuk binatang ternakan yang disembelih atau digantikan dengan makanan atau puasa.

Sebab-sebab diwajibkan dam:

  • Melanggar pantang larang dalam Ihram
  • Meninggalkan perkara-perkara yang wajib dalam ibadat haji atau umrah
  • Mengerjakan Haji Tamattu' atau Haji Qiran, menurut syarat-syaratnya
  • Berlaku Ihsar bagi orang yang berniat ihram
  • Melanggar Nazar semasa mengerjakan haji
  • Luput Wuquf di Arafah
  • Meninggalkan Tawaf Wada'

TERTIB DAN TAQDIR


Pengertian: Tidak ada pilihan dengan dam yang telah ditetapkan. Namun jika tidak terdaya, gantian akan ditentukan mengikut hukum syara'.

Wuquf di Arafah, Luput Wuquf di Arafah
Melanggar Nazar.  Melanggar nazar semasa mengerjakan haji
Meninggalkan Perkara-Perkara Wajib Haji dan Umrah,
Tidak melontar Jamrah
Tidak bermalam di Muzdalifah
Tidak bermalam di Mina
Tidak berihram di Miqat
Meninggalkan Tawaf Wada'
Mengerjakan Haji Tamattu' atau Haji Qiran - Ihram Tamattu' (dengan syarat-syaratnya). Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)

Dam yang dikenakan:
  • Menyembelih binatang ternakan seperti seekor kibasy, kambing atau satu pertujuh daripada lembu, unta atau kerbau JIKA TIDAK BERKUASA.
  • Berpuasa selama 3 hari pada bulan haji & 7 hari apabila ia balik ke tempatnya JIKA TIDAK BERKUASA
  • Tanggungan Sendiri

Soalan
Apakah erti Dam?


Jawapan

Asal makna dam ialah darah. Kemudian dipakai sebagai nama binatang ternakan yang disembelih kerana menebus kesalahan atau menutupi kekurangan dalam masa mengerjakan haji atau umrah. Kemudian digunakan perkataan ini untuk sebarang denda ganti penyembelihan.

Soalan
Mengapa orang yang melakukan haji tamattuk dikenakan dam?


Jawapan

Kerana ia telah tidak berihram dari miqat haji dalam musim haji. Kecuali penduduk Makkah dan sekitarnya tidak dikenakan dam.

Soalan
Berapa dam yang harus dibayar jika seorang itu mengerjakan haji tamattuk dengan berniat di Jeddah?


Jawapan

Satu dam sahaja - Menurut qaul yang mengatakan Jeddah itu sebagai miqat. Kalau menurut qaul yang mengatakan Jeddah tidak dikira miqat kena dua dam. Satu dam kerana berihram umrah setelah melalui miqat, satu dam lagi kerana meninggalkan miqat haji. Untuk lebih ihtiat (lebih berjaga-jaga) pendapat yang kedua lebih kuat.

Soalan
Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dijadikan dam?


Jawapan

Binatangnya mesti sudah sampai umur boleh dibuat korban dan tidak ada sebarang penyakit serta cukup sifatnya.

Soalan
Adakah berdosa jika seorang itu melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram walaupun setelah membayar dam?


Jawapan

Jika dilakukannya kerana terlupa, terpaksa atau kerana sesuatu keuzuran yang diterima oleh syarak ia tidak berdosa.

Soalan
Bolehkah seorang itu melewatkan pembayaran dam? Bagaimana pula jika bayaran dam seseorang itu dibayar di luar tanah haram?


Jawapan

Yang afdalnya dibayar pada waktunya. Ada masanya pula seseorang tidak boleh bertahallul melainkan setelah membayar dam. Semua dam mesti dibayar di tanah haram kecuali dam kerana terkepong atau terhalang dari meneruskan haji atau umrahnya - dikeluarkan ditempat mana ia terhalang.

Soalan
Bolehkah seorang itu memakan daging damnya sendiri?


Jawapan

Tidak boleh. Semuanya mesti disedekahkan. Kalau sudah diterima oleh orang yang berhak kemudian orang ini menjamunya adalah harus.

Soalan
Bolehkah seorang itu mewakili orang lain untuk membayar damnya?


Jawapan

Boleh

Soalan
Adakah sah dam seorang yang dibuat dengan tidak berijab kabul?


Jawapan

Perwakilan mesti ada ijabnya dengan lafaz. Kalau ia menyembelih sendiri cukup dengan niat. Wakil wajib berniat atas nama orang yang mewakilkan.

Soalan
Adakah sah dam yang dibayar melalui Bank Islam yang terdapat di Arab Saudi?


Jawapan

Ya. Sah dengan syarat pihak bank itu bertindak sebagai wakil untuk menyembelih dam itu.

Soalan
Adakah dikenakan dam jika seorang yang uzur itu tidak dapat melakukan tawaf wada’?


Jawapan
Tidak dikenakan dam kerana uzur

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang ternampak rambut di lantai biliknya sedangkan ia tidak pasti rambut siapakah itu?


Jawapan

Tidak wajib dam.

Soalan
Seorang yang terlupa yang dia dalam ihram telah mencabut rambutnya, adakah dikenakan dam keatasnya?


Jawapan

Ya. Dikenakan dam.

SOLAT JAMAK DAN QASAR

Soalan
Hasilkah sembahyang sunat ihram yang dilakukan di rumah ketika hendak berangkat, sedangkan niat ihramnya dilakukan kira-kira lapan jam kemudian?


Jawapan
Ya. Hasil pahala sembahyang sunat ihram itu - tetapi kurang afdal.

Soalan
Haruskah bersembahyang jamak dan qasar ketika wukuf di Arafah?


Jawapan
Tidak harus qasar. Hanya sunat jamak takdim Zohor dengan Asar di Arafah dan Maghrib dengan Isyak - jamak takhir di Muzdalifah.

Soalan
Hasilkah sembahyang sunat ihram yang dilakukan di waktu tahrim?
Jawapan
Tidak hasil dan tidak diharuskan kecuali jika dibuat dalam tanah haram Makkah.

Soalan
Seorang bersembahyang berjemaah di tempat tinggalnya mengikut imam di Masjid Al-Haram. Hasilkah jemaahnya? Adakah dia memperolehi fadhilat 100,000 kali ganda?


Jawapan
Jawabnya tidak hasil jemaahnya melainkan kalau dia menghadap pintu yang terbuka terus menghadap ke arah Masjid Al-Haram. Tetapi kalai ia hanya menghadap tingkap atau tembok di rumah atau di bilik hotelnya tidak sah berjemaahnya. Adapun bersembahyang sendiri atau berjemaah di rumah dalam kawasan tanah haram Makkah masih diharapkan dapat fadhilat 100,000 kali salat.

Soalan
Mana lebih afdal, sembahyang sunat tahiyatul masjid atau tawaf ketika kita masuk ke dalam Masjidil Haram?


Jawapan
Yang afdalnya ialah tawaf. Andainya ia tidak bertawaf bolehlah ia bersembahyang tahiyyatul masjid.

Soalan
Adakah sembahyang sunat di Jabal Rahmah itu dituntut?


Jawapan
Tidak dituntut, kerana tidak ada keterangan bahawa ada sembahyang yang khusus di situ.

Soalan
Empat puluh sembahyang di Masjid Nabawi yang di antara fadhilatnya terlepas dari api neraka. Adakah sembahyang itu sembahyang fardu atau sunat?


Jawapan
Sembahyangnya ialah sembahyang fardu empat puluh waktu - kira kira berada selama 8 hari di Madinah.

Soalan
Bagaimana cara mengerjakan sembahyang menghormati waktu?


Jawapan
Caranya dengan membuat apa yang boleh dibuat daripada syarat dan rukunnya. Yang tidak dapat dibuat itu dimaafkan. Jika kurang syaratnya dikenakan Qadha.

Soalan
Terangkan cara yang sebaik-baiknya mengerjakan sembahyang semasa berada di Masya’ir pada hari Tarwiah, Arafah, Nahar dan Tasyrik?


Jawapan
Pada hari Tarwiah adalah afdal bersalat lima waktu di Mina iaitu mulai dari Zohor hari 8 Zulhijjah seterusnya Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kemudian barulah beredar ke Arafah untuk sembahyang Zohor dan Asar sebelum masuk ke kawasan bumi Arafah 9 Zulhijjah di Arafah. Maghrib dan Isyaknya di takhirkan untuk dibuat di Muzdalifah. Subuh dibuat awal waktu di Muzdalifah pada hari Nahar dibuat di Mina seperti biasa.

Soalan
Apakah hukum jika sembahyang yang dilakukan di Masya’ir dengan tidak berjemaah beramai-ramai?


Jawapan
Tidak mengapa. Cuma kurang afdal.

Soalan
Adakah digalakkan jemaah haji wanita bershalat Jumaat di Masjiil Haram dan Nabawi pada masa yang sesak di musim haji terutama pada Jumaat terakhir sebelum Hari Arafah?



Jawapan Tidak digalakkan.


SOAL JAWAB UMUM

Soalan
Haruskah air zamzam digunakan untuk:


i) Mandi?


Jawapan: Harus.

ii) Membasuh?


Jawapan: Harus

iii) Beristinjak?


Jawapan: Makruh - jika ada air yang lain - keuali al-Imam al-Muhib al-Tabari menyatakan haram - tetapi istinjaknya sah. iv) Membersihkan najis?


Jawapan: Makruh - kecuali al-Tabari mengatakan haram.

Soalan
Adakah rosak air zamzam yang dimasak atau dicampur air batu?


Jawapan

Tidak rosak.

Soalan
Adakah Mas’a sebahagian dari Masjidil Haram?


Jawapan

Bukan dari Masjid.

Soalan
Manakah yang lebih afdal dikerjakan dahulu ketika masuk waktu salat samada bersalat atau menguruskan jenazah?


Jawapan

Bersalat dahulu. Kecuali jika jenazah itu sudah agak lama perlu diuruskan segera.

Soalan
Bolehkah selama di Makkah (dalam Safar) diperbolehkan tayamum walaupun ada air, berdasarkan surah Al-Maidah ayat 6?


Jawapan

Tidak boleh. Kerana berdasarkan ayat 6 Surah Al-Maidah itu juga tayammum diharuskan kerana ketiadaan air. Kecuali kalau terlalu sejuk yang tidak tertanggung pada adat atau sakit tidak boleh menggunakan air boleh bertayammum walaupun ada air.

Semoga maklumat yang amat sedikit ini dapat membantu sesiapa sahaja yang membaca blog saya yang telah memasang niat untuk menunaikan Rukun Islam ke 5.





No comments:

Post a Comment

IKTIROF

←  PLURALISME GUS DUR, GAGASAN PARA SUFI Biografi KH Hasyim Asy’ari Pendiri NU Tebuireng Jombang  → Syair Doa Abu Nawas – Al I’tira...