Memoir Putera Lapis Mahang

Memoir Putera Lapis Mahang

Monday, January 8, 2018

PLM 119: KEMBALI KE UITM: DIFFERENT SCENARIO


Pada 2 Jan 2018, anakku yang kelima Muhammad Heikal Fawwaz telah diterima masuk untuk mendaftar ke UITM Selangor Kampus Puncak Alam.

Hari bersejarah ini mempunyai dua hal yang tersirat dalam sejarah keluargaku.

Pertama: Heikal dilahirkan dalam tahun 1995, tamat SPM (Sek Men Islam Al Amin, Gombak) pada tahun 2012. Mulanya berminat untuk mengikuti kursus ke Timur Tengah. Memohon mengikuti kursus Bahasa Arab di Qatar tetapi harapannya dikecewakan oleh agen yang mengendalikan kursus tersebut (skandal penipuan).

Kemudiannya lebih kurang awal tahun 2014 dia mengikuti kursus Pra-Sains Islam di Medinah International Islamic University (MEDIU) di Shah Alam. Setelah lulus kursus dua semster itu, dia diterima masuk ke Kulliyah Pengajian Quran dan Sunnah di universiti tersebut. Dia dapat pinjaman MARA. Tetapi setelah menamatkan semester ketiganya lebih kurang tahun 2015, dia enggan meneruskan pengajian. Aku agak kecewa dengan keputusannya yang tidak berbincang denganku. Walaupun aku cuba menasihatkannya supaya membatalkan niatnya, dia tetap dengan keputusannya.

Aku rasa, penglibatannya dalam perniagaan MLM (Stem Cell) yang pada awalnya memperlihatkan pendapatan yang agak lumayan telah mempengaruhi keputusannya untuk berhenti belajar. Aku lihat dia begitu aktif dengan network perniagaannya sehingga lewat malam dan bermesyuarat di lokasi luar Lembah Klang.

Lepas itu (aku dimaklumkan) dia mendaftar ke Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM) untuk Diploma Pengurusan secara PJJ. Tapi aku sendiri tak nampak apa-apa dokumen mengenainya.  Oleh kerana dia tidak langsung berbincang denganku mengenai perkara ini maka aku mendiamkan diri dan tidak mengganggu tindakannya. Yang penting dia masih mahu belajar.

Heikal kemudiannya bekerja dengan syarikat penerbitan buku di Seri Kembangan. Itu pun tahan dua bulan sahaja.

Sepanjang bulan Julai/Ogos 2017 dia bekerja secara part time dengan EZ Qurban di Batu Caves. Sambil itu dia memohon UITM secara online. Pada bulan Nov 2017 permohonannya diterima untuk Diploma Muamalat di Akademi Pengakian Islam Kontemporari (ACIS) di UITM Selangor, kampus Puncak Alam dan diarahkan mendaftar pada 2 Jan 2018.

Setelah tamat tugasan di EZ Qurban, pada bulan Okt 17, dia bekerja di ibu pejabat PUNB di KL Sentral sehingga Dis 2017. 

Aku amat gembira dan terharu apabila dia membuat keputusan untuk kembali ke kuliah mencari ilmu walaupun usianya telah emncecah 22 tahun. Dalam keadaan biasa, bagi penuntut Diploma, jika dia mula belajar selepas tamat SPM dia sudah pun graduan.

Aku amat berharap dan berdoa agar Heikal tidak akan berubah fikiran sehingga selesai tempoh pengajian.








    





Kedua. Kemasukan Heikal ke UITM pada 2 Jan 2018 telah mengimbau kembali sejarah pendidikan dalam riwayat hidupku. Pada bulan Jun 1986 aku mendaftar ke Institut Teknologi MARA (ITM), kampus Shah Alam untuk mengikuti kursus Diploma in Business Studies (Fakulti Pengurusan Perniagaan) selama 3 tahun di bawah penajaan biasiswa ATM. Aku grad pada tahun 1989.

Pada tahun 1994 aku sekali lagi mendaftar ke ITM Shah Alam untuk mengikuti kursus Advanced Diploma in Business Studies (Human Resources Management) selama 2 tahun. Kursus ini telah diiktiraf setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda Kepujian mulai 1992.  Aku grad pada bulan Jun tahun 1996. Pada tahun tersebut ITM telah dinaik taraf/status menjadi sebuah Universiti penuh. Beberapa hari sebelum Majlis Konvokesyen ke 46, nama kursus telah ditukar kepada Sarjana Muda (Kepujian). Hanya pada tahun 1999, nama ITM telah ditukar menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kemasukan Heikal ke UITM, setelah 22 tahun aku melangkah keluar dari menara gading ini, menjadikan Heikal adalah zuriatku yang pertama mengikuti jejakku menjadi pelajar atau mahasiswa UITM.

Anak sulungku Muhammad Hafeez Firdaus adalah graduan Diploma Tahfiz dari Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bahru serta graduan Diploma in Islamic Studies dari Universiti Islam Antarabangsa Imam Muhammad Saud, Riyadh; anak kedua Nur fairiz Fazeera adalah graduan Diploma Al Quran dan Sunnah dari Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)(sebelum ini dikenali sebagai Kolej Islam Antarabangsa Darul Ehsan (KISDAR), Bukit Seri Putra, anak ketiga Aisyahnur Abid, graduan Diploma Sains Kulinari dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Kelana Jaya dan anak keempatku Atikah Nur Ezzaty adalah graduan KUIS dalam jurusan Diploma Perbankan Islam.

Semoga Heikal istiqomah sehingga jejak terakhir menerima scroll di Hari Konvokesyen dalam tahun 2020 nanti.